Labels

7 September 2012

Kanak-Kanak Menderita Kaki Raksasa




DOKTOR di kawasan pedalaman di Peta, Uganda, merayu supaya ada pakar perubatan dari negara luar mampu mengatasi masalah Oketch.

KAMPALA: Seorang budak Uganda kini bertarung dengan maut selepas kakinya membengkak secara misteri sehingga terlampau besar.

Baru berusia 10 tahun, Vincent Oketch kini hanya mampu duduk atau berbaring di katil kerana saiz kakinya menghalang dia berjalan.

Keadaan itu juga memaksa Oketch mengenakan pakaian budak perempuan atau skirt bagi menyesuaikan saiz kakinya. Doktor di Peta merayu kepada pakar perubatan antarabangsa supaya membantu mengubati Oketch kerana mereka yakin, jika lambat dirawat, budak itu mungkin meninggal dunia.

Bapa Oketch, Tito Opoya, berkata keadaannya itu sangat mengecewakan kerana anaknya menjadi bahan cemuhan apabila berpakaian seperti budak perempuan.

“Badannya kecil, tapi kakinya begitu besar dan sangat berat,” katanya.

Masalah Oketch mula dikesan keluarganya ketika dia berusia 18 bulan, tetapi kemiskinan memaksa mereka membiarkan keadaan itu begitu saja.

Apabila Oketch semakin membesar, kakinya juga bertambah besar.

Doktor pula bingung mencari punca masalah Oketch.

Sesetengah doktor percaya Oketch dilahirkan dengan masalah limfatik, menyebabkan kaki budak itu membengkak melampau.

Namun, keputusan pemeriksaan yang saling bercanggah serta masalah kemudahan perubatan yang terhad menyebabkan doktor tidak banyak pilihan untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurut Dr Isaac Osire, dia percaya Oketch berdepan masalah jangkitan serius dan kaki itu mungkin terpaksa dipotong jika tidak mendapat rawatan segera.

Kini mengendalikan pertubuhan kebajikan kanak-kanak, Dr Osire membawa Oketch ke hospital di Kampala untuk dibedah.

Katanya, imbasan awal menunjukkan Oketch mungkin mengalami masalah sistem limfatik, untut dan keganjilan tisu.

Pemeriksaan juga mendapati keadaan itu turut menjejaskan tulang Oketch sehingga menyebabkan tulang pinggulnya beralih, manakala buku lalinya terseliuh.

Namun, pemeriksaan lanjut menunjukkan Oketch mungkin mengalami jangkitan kuman pemakan daging yang sangat berbahaya.

Dr Osire berkata, doktor mungkin memotong kaki Oketch di paras paha.

“Ia sangat membimbangkan kerana kami masih mendapat keputusan yang berbeza-beza.

“Sangat sukar mengetahui apa sebenarnya berlaku dan kami terdesak mahukan bantuan asing,” katanya. Sementara itu, seorang doktor Britain yang kini melawat Uganda berharap dalam bertemu Oketch minggu depan bagi melihat sendiri keadaan penyakit budak itu.

Dr Osire berkata, sebarang bantuan daripada pihak luar sentiasa dialu-alukan.

“Nampaknya kes ini mungkin terlalu rumit untuk dirawat di dalam negara ini.

“Saya mahu melakukan apa saja yang terdaya supaya Oketch boleh hidup normal,” katanya. Opoya pula berkata, dia berharap ada doktor yang mampu mengubati anaknya.

Setakat ini, katanya, dia begitu terhutang budi kepada Dr Osire atas segala bantuan diberikannya.

Pertubuhan disertai Dr Osire membantu kanak-kanak di seluruh Uganda.

Dalam keadaan tertentu, dia menggunakan sendiri keretanya untuk membawa kanak-kanak yang perlukan rawatan segera ke hospital.

“Kami masih memerlukan bantuan kewangan untuk membantu kanak-kanak di negara ini,” katanya. - DM

0 comments:

Post a Comment